Pendaki Croatia Didenda RM25,000, Majlis Adat Dedah Sisi Lain Kes Gunung Kinabalu: Peranan Sabah Parks Dipersoal

Akurat.co. - KOTA KINABALU — Denda sebanyak RM25,000 belum menoktahkan isu pendaki warga Croatia, Mauro Persic, yang menceroboh Gunung Kinabalu tanpa kebenaran melalui laluan tidak rasmi.
Bagi Sunduan Di Aki Nabalu Council (Majlis Sunduan Di Aki Nabalu), hukuman daripada pihak berkuasa taman hanya menyelesaikan satu sisi kes ialah pelanggaran terhadap undang-undang negara. Di sebalik itu, wujud persoalan Adat yang menurut majlis tersebut masih belum diselesaikan.
Melalui Rangkai Adat, Sunduan Di Aki Nabalu Council menetapkan penemuan Kes Sogit, yang dalam kerangka Adat difahami sebagai usaha untuk memulihkan keseimbangan selepas berlakunya pencabulan terhadap ruang yang dianggap suci (sakral).
Dalam penemuan itu, isu tidak terhenti sekadar pada tindakan memasuki gunung tanpa permit. Majlis Adat turut membangkitkan perbuatan merakam dan menyebarkan gambar serta video semasa pendakian, termasuk satu rakaman yang didakwa memaparkan kesan darah di kawasan Gunung Kinabalu.
Dalam pemahaman Adat yang diketengahkan oleh majlis tersebut, pertumpahan darah di gunung suci bukan sekadar soal luka fizikal. Peristiwa itu dilihat sebagai gangguan terhadap pertalian antara manusia, alam semula jadi, dan alam ghaib. Konsep ini dikenali sebagai symmetrical system — sistem yang menghubungkan alam nyata dan ghaib, manusia dan alam, serta hak dan tanggungjawab dalam ruang yang suci.
Oleh sebab itu, kompaun RM25,000 tidak dilihat sebagai titik noktah kepada isu ini. Jika undang-undang negara melihat pelanggaran dari sudut permit, laluan, dan keselamatan, Adat pula melihatnya dari sudut keseimbangan rohani yang telah terganggu dan perlu dipulihkan. Salah satu tuntutan Sogit yang dinyatakan dalam penemuan tersebut ialah penyediaan tiga ekor babi bagi memulihkan keharmonian dan mengamankan perkampungan serta masyarakat sekitar.
Bukan Sekadar Pendaki, Sistem Kawalan Sabah Parks Turut Dipersoal
Kes Persic telah membuka persoalan yang lebih kritikal: bagaimana seseorang boleh menceroboh kawasan Taman Kinabalu melalui laluan tidak rasmi jika ia merupakan kawasan perlindungan sepenuhnya?
Walaupun Persic telah dikenakan kompaun maksimum RM25,000, hukuman terhadap individu tidak secara automatik menjawab persoalan kelemahan sistem pengawasan kawasan. Di sinilah peranan Sabah Parks, selaku pihak berkuasa yang menguruskan Taman Kinabalu, mula dipersoal.
Taman Kinabalu merupakan Tapak Warisan Dunia UNESCO, dengan nilai kepentingan yang merangkumi ekosistem, kepelbagaian biologi, dan proses ekologi. UNESCO juga meletakkan aspek perlindungan, penguatkuasaan peraturan, dan pengurusan kawasan sebagai elemen penting dalam mengekalkan integriti tapak warisan tersebut.
Bagi Sunduan Di Aki Nabalu, isunya jauh lebih mendasar. Kinabalu bukan sahaja memiliki nilai flora, fauna, dan ekologi yang tinggi. Gunung itu juga mempunyai nilai suci dan pertalian adat yang terus hidup dalam kalangan masyarakat setempat.
Justeru, Dato’ Petinggi Atama Andrew Ambrose dari Rangkai Adat Sunduan Di Aki Nabalu Council menyatakan bahawa isu ini tidak lagi hanya tertumpu kepada seorang pendaki.
"Kebimbangan saya kini melangkaui pendaki Croatia tersebut. Sabah Parks sendiri mesti tertakluk kepada penelitian antarabangsa sebagai pihak pengurusan yang bertanggungjawab ke atas Tapak Warisan Dunia Taman Kinabalu."
Atama mempersoalkan bagaimana pendaki itu dapat menceroboh masuk ke kawasan Tapak Warisan Dunia melalui laluan yang tidak diwartakan.
"Persoalan institusi yang pertama adalah, bagaimana individu tanpa kebenaran mampu menceroboh jauh ke dalam landskap Warisan Dunia yang dilindungi ini melalui laluan yang tidak dibenarkan."
Menurut beliau, isu kedua timbul selepas gambar dan video dari kawasan sensitif tersebut tersebar luas ke selurah dunia.
"Persoalan kedua adalah apa yang berlaku selepas pencerobohan itu bertukar menjadi ratusan gambar dan video yang tular di peringkat global."
Atama menegaskan bahawa bagi Sunduan Di Aki Nabalu, Aki Nabalu bukan sekadar kawasan rupa bumi berstruktur batu.
"Aki Nabalu bukanlah rupa bumi fizikal yang sekadar menempatkan flora dan fauna. Ia adalah sebuah landskap suci yang bernyawa."
Beliau turut menekankan bahawa alam semula jadi dan hubungan budaya masyarakat adat adalah tidak boleh dipisahkan.
"Flora dan fauna kita mesti dilindungi. Integriti ekologi kita mesti dipelihara. Namun, hubungan suci kita dengan landskap yang bernyawa itu juga wajib dihormati."
Status Warisan Dunia Membawa Tanggungjawab Warisan Dunia
Kenyataan Atama kemudiannya membawa kes ini ke peringkat yang lebih tinggi. Menurutnya, status Warisan Dunia tidak sepatutnya hanya menjadi label perlindungan fizikal, tetapi turut membawa akauntabiliti terhadap cara kawasan itu diuruskan serta pihak yang perlu dilibatkan.
"Status Warisan Dunia hadir bersama Tanggungjawab Warisan Dunia."
Sehubungan dengan itu, Sunduan Di Aki Nabalu Council menggesa agar Pusat Warisan Dunia (World Heritage Centre) dan IUCN mempertimbangkan untuk melakukan penelitian semula terhadap pengurusan Taman Kinabalu, termasuk menilai sama ada mekanisme Pemantauan Reaktif (Reactive Monitoring) diperlukan atau sebaliknya.
Desakan ini juga selari dengan penglibatan masyarakat adat dalam pengurusan Tapak Warisan Dunia. Menjelang 2026, UNESCO telah menegaskan kepentingan penyertaan bermakna masyarakat adat dalam penilaian, pemuliharaan, dan pengurusan Tapak Warisan Dunia, termasuk mengambil kira pertalian spiritual mereka dengan tanah serta kesinambungan antara alam dan budaya.
Walau bagaimanapun, permohonan semakan antarabangsa tersebut tidak bermaksud UNESCO telah mengisytiharkan Sabah Parks gagal dalam menguruskan Taman Kinabalu. Apa yang dipertikaikan ialah sama ada sistem pengurusan sedia ada cukup kebal untuk mendepani dua isu utama serentak: melindungi kawasan secara fizikal dan ekologi, serta dalam masa yang sama memelihara hubungan budaya dan nilai suci masyarakat adat dengan kawasan tersebut.
Kesimpulannya, insiden menceroboh oleh Persic telah mendedahkan pertembungan antara dua perspektif berbeza dalam melihat Gunung Kinabalu.
Bagi kerangka undang-undang negara, kesalahannya hanyalah pencerobohan tanpa kebenaran. Namun bagi hukum Adat, isunya jauh lebih mendalam. Gunung Kinabalu bukan sekadar pusat rekreasi yang mempunyai syarat kemasukan; ia adalah ruang kerohanian yang mengikat sesuatu pertalian. Dan jika pertalian itu diganggu-gugat, wang denda tidak bermakna isu tersebut telah bernoktah sepenuhnya.
Dilarang mengambil dan/atau menayangkan ulang sebagian atau keseluruhan artikel di atas untuk konten akun media sosial komersil tanpa seizin redaksi.
Berita Terkini
Terpopuler
- 1Sang Aktivis Jadi Kabid Kepemudaan, Juni Wardana Bawa Energi Baru untuk Pemuda
- 2Pendaki Croatia Didenda RM25,000, Majlis Adat Dedah Sisi Lain Kes Gunung Kinabalu: Peranan Sabah Parks Dipersoal
- 330 Kader Posyandu ILP Kalimas Ikuti Ujian Kenaikan Strata
- 4Dompet Umat dan Trust Music Galang Dana untuk Warga Terdampak Karhutla Kalbar
- 5Gerakan ASRI Gerindra Dorong Pasar Bersih Jadi Penopang Pertumbuhan Ekonomi
- 6Tak Hanya Kabut Asap, Karhutla Bikin Warga Kesulitan Air, HMI Ketapang Bergerak
- 7Berenang di Sungai Kapuas, Remaja 14 Tahun Terseret Arus hingga Tenggelam
- 8Remaja 14 Tahun Ditemukan Meninggal Setelah Tenggelam di Sungai Kapuas
- 9Pendaki Croatia Didenda RM25,000, Majlis Adat Dedah Sisi Lain Kes Gunung Kinabalu: Peranan Sabah Parks Dipersoal
- 10Sang Aktivis Jadi Kabid Kepemudaan, Juni Wardana Bawa Energi Baru untuk Pemuda
